Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din

BIODATA TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN

Sebagaimana yang diketahui, Darussyifa’ telah diasaskan oleh Yang Berbahagia Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan cara rawatan Islam kepada masyarakat umum di Malaysia. Sebagai anak murid, maka eloklah kita mengetahui latar belakang Tuan Guru semoga dengan itu lebihlah lagi kita sayang dan hormat kepadanya.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik.Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

LATAR BELAKANG TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN DALAM BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Ayahanda Ustaz Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali Perlis. Dia merupakan seorang perawat yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Qur’an, hadith dan doa-doa. Daripada 10 orang adik beradik, hanya Ustaz Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat.

Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umumya ketika itu masih terlalu muda lagi. Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung juga di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung mengelarnya Lebai Din.

Ustaz Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah melahirkan keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkahnya. Setelah meningkat dewasa beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ketika itu umur beliau baru dalam lingkungan belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Alawiyah. Walaupun beliau sering rnengikut bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ayahnya berpesan agar beliau mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Belaiu hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajlan sekolah menengah. Ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.

Sebagai seorang murid, Ustaz Haron Din yakin tentang dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Belaiu juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Ustaz Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan.

Ketika belajar di Mesir, Ustaz Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hypnotism. Setelah kembali ke tanah air beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Ustaz Haron Din juga mendalami ilmunya daripada ‘alim ulama yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al-marhum Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi seorang ulama’ dari Malaysia yang menetap di Mesir. Pemergian Ustaz Haron Din kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Selain itu beliau juga berguru dengan al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang ‘alim dan sering berada dan mengajar di Masjid al-Azhar.

Ketika di Mesir pada awal 70-an, Ustaz Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah diguna oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh .

Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi Kajang, Ustaz Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagal seorang perawat yang terkenal di Langkawi. Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Ustaz Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haron Din beberapa ketika.

Perlis tempat kelahiran Ustaz Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bemama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat al-Qur’an. Ustaz Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu Ustaz Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah. Beliau yang digelar dengan nama Tok Lang Kiang dintaranya telah mengajar Ustaz Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.

Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Ustaz Haron Din alah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu.

Perubatan Islam adalah berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual. Penekanan yang menjadi keutamaan Ustaz Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan al-Qur’an, hadith Rasulullah s.a.w. dan doa-doa’ lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Ustaz Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit. Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

RINGKASAN BIODATA TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – University Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• Ph.D Syariah – Universiti Darul – Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
• Ketua Penerangan PAS Pusat
• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS
• Timbalan Mursidur Am PAS

Pilihan raya

Dalam pilihan raya umum Malaysia 2004 , Ustaz Haron Din yang mewakili Parti Islam SeMalaysia mendapat undi 14,124 di kawasan Parlimen Arau. Pencabarnya , Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mewakili Barisan Nasional mendapat undi: 17,367 . Syed Razlan telah diisytiharkan menang pilihan raya tahun 2004 . Majoriti-diperolehi : 3,243 , Jumlah Undi : 32,024, Undi Rosak : 533 , % Mengundi : 84.23%

Sumber: darussyifa

Posted in Tokoh Ugama | Tagged , , , | Tinggalkan komen

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

BIODATA: Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuanguru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India , mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’hoad Muhamadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhamadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halakat pengajian’ yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Abia’.

Penghargaan

Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.

Kredit: mbkelantan dan suarajohoronline

Posted in Tokoh Ugama | Tagged , , , | 1 Komen

Tun Dr Mahathir Mohamad

PROFILE: TUN DR MAHATHIR MOHAMAD (Bapa Kemodenan Malaysia)

Tun Dr Mahathir bin Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia pada tarikh 16 Julai 1981.

Lahir pada tarikh 20 Disember 1925 di Alor Setar, ibukota Negara Bahagian Kedah, Tun Dr Mahathir melakukan pendidikan awal dan menengah di bandar kelahirannya. Pada 1947, ia mendapatkan masuk ke King Edward VII College of Medicine di Singapura.

Setelah lulus, ia bergabung dengan perkhidmatan kerajaan Malaysia sebagai Tenaga Kesihatan. Dia meninggalkan tahun 1957 untuk mendirikan amalan sendiri di Alor Setar.

Tun Dr Mahathir telah aktif dalam politik sejak tahun 1945. Dia telah menjadi ahli United Malays National Organisation (UMNO) sejak ditubuhkan pada tahun 1946.

Beliau pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen mengikuti Pemilihan Umum pada tahun 1964. Namun, ia kehilangan tempat duduknya di Pemilihan Umum seterusnya pada tahun 1969. Kerana minat di pendidikan negara itu, beliau diangkat sebagai Ketua Pendidikan Tinggi pertama Council pada tahun 1968, Ahli Pendidikan Tinggi Advisory Council pada tahun 1972, Ahli Mahkamah University dan University of Malaya Dewan, dan Ketua Universiti Kebangsaan dewan pada tahun 1974.

Pada tahun 1973, Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Senator. Dia melepaskan posting ini untuk kontes dalam Pilihan Raya Umum 1974 di mana ia kembali terlindung. Selepas pilihan raya, Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Pada tahun 1976, Tun Dr Mahathir dibuat Timbalan Perdana Menteri selain portfolio Pendidikan nya. Dalam perombakan kabinet dua tahun kemudian, beliau melepaskan portfolio Pendidikan untuk yang Perdagangan dan Industri. Sebagai Menteri Perdagangan dan Industri, ia memimpin beberapa misi promosi pelaburan di luar negeri. Tun Dr Mahathir dipilih sebagai salah satu daripada tiga Naib Presiden UMNO pada tahun 1975. Pada tahun 1978, beliau memenangi kerusi Timbalan Presiden dan pada tahun 1981, ia diangkat menjadi Presiden parti. Dia kembali terlindung sebagai Presiden pada tahun 1984.

Dalam pilihan raya 1987 parti, Tun Dr Mahathir dikalahkan penantang untuk mempertahankan Presiden dan pada tahun 1990 dan 1993, dia kembali lagi terlindung sebagai Presiden parti. Di bawah pimpinannya, parti berkuasa Barisan Nasional (National Front) memenangi kemenangan tanah runtuh pada tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 Pemilihan Umum.

Tun Dr Mahathir berkahwin dengan seorang doktor, Tun Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali, dan mereka mempunyai tujuh anak Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Tun Dr Mahathir mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri pada tarikh 31 Oktober 2003.

Kredit: pmo.gov.my

BIODATA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.

Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena ‘C.H.E Det’ antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku “Dilema Melayu” yang diterbitkan dalam tahun 1970.

Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society.

Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.

Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.

Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.

Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.

Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.

Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.

Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.

Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.

Dr. Mahathir digelar “Bapa Pemodenan Malaysia” dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.

Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut.

Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu ‘mengikat diri’ kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.

Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.

Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun.

Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.

Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat dan yang penting juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB.

Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia).

Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia.

Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal.

Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.

Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi.

Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus ‘perniagaan’ sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan.

Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan.

Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi ‘CEO’ Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.

Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.

Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Sumber biodata:
Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali.

Posted in Tokoh Malaysia | Tagged , , , , , , , | 1 Komen